Peristilahan dan pentakrifan Sumber_khalayak

Peristilahan yang menggambarkan konsep ini dengan tepatnya dirasmikan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka di Malaysia pada tahun 2017 melalui padanan dengan istilah asal dalan bahasa Inggeris, crowdsourcing.[3] Indonesia pula lebih menggunakan istilah "urun daya" melalui analogi daripada istilah "alih daya" (outsourcing),[4] di mana "urun" merupakan kata kerja yang bermaksud "menyumbang" atau "menyokong".[5]

Istilah bahasa Inggeris yang asal pula diilhamkan Jeff Howe dan Mark Robinson, editor majalah teknologi Amerika Syarikat Wired, pada 2005 bagi menggambarkan kegunaan Internet oleh sesetengan perniagaan untuk menyumberluarkan tugas kepada orang ramai (dalam bahasa Inggerisnya: "...outsource work to the crowd").[6] Howe pertama kalinya menerbitkan takrifannya mengenai istilah Inggeris ini dalam tulisan blog sampingannya kepada sebuah artikel dalam isu Jun 2006 majalah tersebut nukilannya bertajuk "The Rise of Crowdsourcing", yang terbit beberapa hari kemudian:[7]

"Sumber khalayak secara ringkasnya diertikan sebagai tindakan suatu syarikat atau institusi mengalihkan kerja yang dahulunya dilakukan pekerja ke luar syarikat atau institusi kepada suatu rangkaian orang ramai yang tidak jelas (dan biasanya bersaiz besar) dalam bentuk panggilan terbuka. Ia boleh datang dalam bentuk pengeluaran rakan sebaya (apabila tugas dilakukan secara kolaboratifnya), tetapi ia juga sering dilakukan oleh individu tunggal. Prasyarat yang utama [kepada model ini] ialah penggunaan format panggilan terbuka serta rangkaian pekerja berpotensi yang besar."